Wednesday, June 18, 2008
(Gambar foto: Sekolah Rendah Pantai Berakas)
BANDAR SERI BEGAWAN, 12 JUN 2008, KHAMIS – Sekolah Rendah Pantai Berakas, Berakas Kem telah mengadakan Majlis Berdikir bagi meraikan saudara baru pada hari ini di dewan sekolah ini ‘Dewan Wira’.
Acara ini diadakan bagi murid-murid sekolah ini, iaitu Muhammad Harispudin dari Darjah 1A dan Nur Asna Afieza dari Darjah 2C. Turut diraikan ahli keluarga murid-murid tersebut iaitu ayah mereka, Muhammad Kastupa bin Abdullah Semadat, dan ibu mereka, Siti Nurfaizah binti Abdullah Loo, serta adik, abang dan kakak mereka.
Acara dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang diketuai oleh Ustaz Othman bin Alikhan. Kemudian, para hadirin diperdengarkan bacaan Surah Ad-Dhuha oleh Siti Nur Hidayatul Hazirah binti Rosli dari Darjah 5B . Murid-murid Darjah 3 pula menyusuli acara dengan satu persembahan nasyid. Seterusnya, Cikgu Haji Zakaria bin Haji Duraman, Guru Besar sekolah ini menyampaikan ucapan alu-aluan.
Acara diteruskan lagi dengan persembahan dikir marhaban oleh guru-guru agama Sekolah Ugama Pantai Berakas yang diselarikan dengan acara menabur bunga rampai. Guru Besar mendahului para hadirin menabur bunga rampai kepada murid-murid tersebut dan juga kepada ahli keluarga mereka.
Selepas itu, Guru Besar berkesudian untuk menyampaikan cenderahati kepada keluarga saudara baru yang diraikan. Cenderahati ini adalah sumbangan dari guru-guru, kakitangan sokongan, dan murid-murid sekolah ini.
Acara diakhiri dengan doa kesyukuran yang diketuai oleh Ustaz Haji Zakir bin Pehin Bendahari Haji Abu Bakar.
English: This ceremony is held to celebrate the new converts who are pupils from Sekolah Rendah Pantai Berakas and their family members. It is common practice in Brunei Darussalam to organise such ceremony for a new convert.
Teks: Abdul Rashid Haji Tahir dan SRPB.
Labels: Dikir, Saudara baru, Sekolah Rendah Pantai Berakas
ANY COMMENTS, PLEASE SEND YOUR E-MAIL TO:
abdul_rashid.tahir@yahoo.com