Thursday, March 01, 2012

1 Mac 2012, hari Khamis – Pada hari ini saya menyertai rombongan sekolah saya, Sekolah Rendah Tentera Laut Diraja Brunei, melawat Pesta Buku Brunei 2012 yang diadakan sejak 25 Febrauri 2012, hari Sabtu di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas.

Sebenarnya saya sudah ke pesta ini pada petang hari pertama iaitu pada petang majlis perasmian pesta ini. Pada hari  itu, saya membeli satu unit CD bertajuk “Raihan: Zikir Teraphy”. Saya lupa berapa harganya.

Petang tadi, saya membeli pelbagai jenis buku. Berikut ini buku-buku yang saya beli tadi.


Reaching Out To The World Volume 1: Travelling From South Africa To Austria 2007

Muka kulit depan
Muka kulit belakang
Buku Reaching Out To The World Volume 1: From South Africa To Austria adalah catatan pengembaraan Norhayati Abu Bakar dan suaminya Harun Kurt Eichbauer ke negara Afrika Utara, Namibia, Botswana, Zambia, Malawi, Tanzania, Kenya, Ethiopia, Sudan, Egypt, Jordan, Syria, Turkey, Greece, Italy, Germany, dan Austria pada tahun 2007. Saya belum lagi membaca buku ini. Hanya melihat secara sepintas lalu gambar-gambar yang terdapat dalam buku ini  dan prolognya.


Saya menjangkakan buku ini sangat menarik untuk dibaca lebih-lebih buku ini adalah catatan perjalanan anak Brunei yang saya anggap sangat mencabar. Lagipun saya juga suka mengembara. Tetapi saya suka mengembara naik kapal terbang (tambang murah), bas, kereta api dan sistem MRT. Saya tidak suka memandu sendiri atau naik teksi. Saya harap buku ini akan meberikan saya motivasi untuk mengembara lebih jauh lagi iaitu di luar lingkungan selesa saya yang pada masa ini saya hanya pergi ke Malaysia dan Singapura.

Buku ini diterbitkan oleh Dewan Bahasa Dan Pustaka Brunei. Ia dijual pada harga BND20.

Hraga: BND20
Saya mendapat majalah ini secara percuma bagi pembelian buku tersebut di booth Dewan Bahasa dan Pustaka Brunei Darussalam.
Jurnal Undang-Undang Syari'ah



Jurnal Undang-Undang Syari’ah (Bilangan 1 Tahun 1429 Hijrah/2008 Masihi) ini diterbitkan oleh Pusat Dakwah Islamiah Brunei Darussalam. Jurnal ini dijual pada harga BND5. Saya berminat membeli dan membaca jurnal ini kerana ingin memahami dengan lebih mendalam lagi mengenai perundangan Islam khusus dalam kes takzir dan hudud. 

Percuma: Memahami Ahli Sunnah Wal Jama'ah
Percuma: Newsletter Muslimin teribitan Pusat Dakwah Islamiah Brunei Darussalam.
Buku Siri Panduan Peperiksaan PSR: Bahasa Melayu




Buku ini diselenggarakan oleh Loo Kuan Lein dan diterbitkan oleh Wee & Loo Book Publisher, Brunei Darussalam. Buku ini mengandungi kertas soalan Peperiksaan Penilaian Sekolah Rendah (PSR) bagi mata pelajaran Bahasa Melayu dari tahun 1997 hingga 2011. Buku ini dijual pada harga BND6.



Buku Jamie Oliver saya yang pertama: Jamie's Kitchen



Jamie’s Kitchen adalah buku Jamie Oliver saya yang mula-mula saya beli. Buku ini saya beli di booth D Book Haus (Muka Facebook: www.facebook.com/dBookHaus) pada harga BND25++ yang saya anggap jauh lebih murah jika membeli di Amazon dan harga yang dicadangkan bagi pasaran Amerika Syarikat USD39.95. Saya suka buku ini kerana gaya fotografinya dan rekabentuk susun aturnya. Lagi pun Jamie Oliver adalah satu daripada cef selebrati yang saya sukai.

Saya suka makan dan makanan. Saya juga suka memasak. Suka memasak tidak bererti saya mahir memasak. Adalah menjadi kepuasan bagi saya jika cubaan sesuatu resepi berjaya...


Harga yang dicadangkan
A Cooking Course for Everyone....Harap-haraplah 'everyone' adalah termasuk saya...

Chicken Soup for the Romantic Soul: Inspiration Stories About Love and Romance



Buku kedua yang saya beli dari D Book Haus adalah Chicken Soup for Romantic Soul pada harga BND13.90. Harga yang dicadangkan untuk pasaran Amerika Syarikat ialah US12.95. Suka ku D Book Haus ani....




Chicken Soup for Romantic Soul adalah satu daripada buku-buku Chicken Soup for the Soul Series. Saya mendapati buku siri ini buat sekian lama terjual di kedai buku tetapi sejak masa itu belum lagi terpanggil untuk membeli dan membacanya. Mungkin juga sebab harganya lebih BND20 atau pun saya malas membaca buku-buku seperti ini iaitu buku kategori ‘self-help/inspiration’.


Kalendar dalam bentuk penanda buku.
(Gambarfoto: Abdul Rashid bin Haji Tahir. Diambil pada 1 Mac 2012, hari Khamis)

Tuesday, February 28, 2012

* Details later




















Thursday, February 16, 2012

Muka depan majalah Monocle keluaran Februari 2012
Muka depan Panduan Pengembaraan Monocle Edisi Jepun yang disertakan bersama majalah Monocle keluaran Februari 2012.
16hb Februari 2012, hari Khamis – Sudah beberapa bulan saya tidak mengemaskinikan laman blog saya ini. Antara sebabnya ialah kesibukan komitmen kerja dan komitmen lain. Saya berharap bermula penghujung bulan Februari atau awal Mac ini saya akan dapat mengemaskinikan laman blog saya ini sekurang-kurangnya sekali dalam seminggu.


Saya mulakan entri blog pada tahun 2012 mengenai majalah kegemaran saya Monocle (Laman web: www. monocle.com). Majalah ini satu-satunya majalah yang saya telah beli dan baca sejak keluaran pertama sehingga sekarang tanpa ketinggalan walau satu keluaran. Sejak keluaran terawal lagi saya berlanggan majalah ini di kedai buku Best Eastern The Mall Gadong pada harga BND19.90 (satu harga yang agak mahal bagi sebuah majalah mengikut piawaian saya). Keluaran terkini yang saya dapatkan ialah keluaran ke-50 (Februari 2012).


Majalah Monocle diterbitkan 10 kali setahun oleh Winkomtent Limited, London, United Kingdom. Majalah ini juga dicetak di United Kingdom. Maklumat lanjut mengenai majalah boleh diperolehi melalui laman web majalah ini. Setiap tahun saya akan berbelanja hampir BND200 untuk majalah ini sahaja. Malangnya, saya sering tidak ada masa yang banyak untuk membaca dari kulit ke kulit (‘from cover to cover’).


Saya suka majalah Monocle kerana majalah ini ada memuatkan pelbagai bentuk artikel yang menarik perhatian saya termasuklah artikel mengenai hal ehwal antarabangsa, kebudayaan, reka bentuk termasuk senibina, panduan pengembaraan dan juga mengenai makanan serta gambar-gambar berbentuk dokumentari/kewartawananfoto. Kebanyakan artikel seperti yang terdapat dalam majalah itu tidak saya temui dari majalah lain atau terbaca melalui laman-laman web lain (selain laman web majalah ini).


Saya suka membaca artikel mengenai pengembaraan dan makanan serta senibina (moden), lebih-lebih lagi saya memang suka mengembara dan makan serta sukakan senibina moden. Cita-cita saya ingin mengembara ke negara-negara Eropah seperti Switzerland, Itali dan United Kingdom, serta beberapa negara di Asia Pasifik seperti Jepun, Australia, New Zealand dan Amerika Syarikat. Pelbagai makanan juga saya ingin rasai (sudah tentu yang halal sahaja) sama ada ketika mengembara di negara-negara berkenaan atau membuat sendiri makanan berkenaan.


Bercerita mengenai majalah bercetak vs majalah versi elektronik, saya suka kedua-duanya. Masing-masing ada kelebihan dan kelemahan. Satu kelebihan majalah yang diperolehi secara elektronik khususnya melalui Zinio dan Apple iTunes ialah harganya jauh lebih murah daripada harga versi bercetak sama ada yang didapati melalui kedai buku di Negara Brunei Darussalam atau berlanggan versi bercetak melalui pengedar kawasan Asia Tenggara yang dihantar ke rumah. Lagipun saya hanya membaca sebahagian sahaja artikel yang terdapat di dalam majalah tersebut atau hanya melihat-lihat jika ada artikel yang menarik perhatian saya untuk dibaca dengan lebih lanjut lagi. Kalau membeli versi bercetaknya tentulah terlalu mahal untuk saya untuk membeli banyak majalah dalam sebulan. Kadang-kadang saya hanya melihat-lihat iklan dan gambar saja. Mana tahu ada yang berkenan di hati atau gambar yang menjadi sumber inspirasi.


Pada masa ini, hampir semua majalah versi elektronik yang saya langgani atau perolehi melalui Zinio.com atau Apple iTunes. Hampir semuanya dibaca melalui komputer tablet Apple iPad. Majalah-majalah ini adalah seperti seperti Mens’ Health, Bloomberg Businessweek, Once, Photographers’ I, Shutterbug, Macworld USA dan National Geographic. Majalah-majalah saya bayar setiap bulan atau setiap tahun atau jika saya hendakkan sesuatu keluaran. Ada juga majalah yang saya dapati secara percuma seperti beberapa keluaran kebelakangan majalah Outdoor Photographer dan Harvard Business Review.


Pengalaman membaca melalui iPad tidaklah sama membaca pada versi bercetak. Antaranya membaca melalui iPad tidak membolehkan saya merasakan ‘feel, touch, and smell’ dan kesenangan membaca bahan bercetak. Oleh itu, saya lebih suka membeli beberapa keluaran majalah dalam versi bercetak walaupun majalah itu ada terdapat versi elektroniknya seperti majalah Men’s Health.


Namun kelebihan yang ada pada versi elektronik (untuk Apple iPad) menyebabkan majoriti majalah yang saya dapati dan baca melalui Apple iPad. Antara ciri-ciri yang saya paling sukai adalah terdapat majalah yang memuatkan video dan audio yang berkaitan dengan artikel dalam bentuk teks seperti yang ada dalam majalah Bloomberg Businessweek atau National Geographic, dan juga saiz teks yang boleh dibesarkan memudahkan saya membaca. Maklumlah mata sudah kurang mampu membaca rupahuruf bersaiz kecil.


Akhirnya, khabar angin bertiup kencang mengatakan bahawa Apple iPad 3 akan dilancarkan pada bulan Mac 2012. Ciri utama yang menarik dan yang saya harapkan serta jangkakan ialah paparan Retina (Retina Display). Paparan Retina membolehkan teks dapat dilihat dengan lebih jelas lagi (seperti membaca bahan bercetak). Paparan Retina sudah saya nikmati melalui Apple iPhone 4 lebih setahun yang lalu. Saya menjangkakan dan yakin pengalaman membaca majalah melalui iPad (melalui iPad 3) akan lebih menyenangkan dan selesa lagi.


p/s: Apple iPad 3....adalah ‘wishlist’ saya.

(Gambarfoto: Abdul Rashid Haji Tahir. Diambil pada 16 Februari 2012, hari Khamis)

ANY COMMENTS, PLEASE SEND YOUR E-MAIL TO:

abdul_rashid.tahir@yahoo.com