Tuesday, December 15, 2009
14hb Disember 2009, Isnin –Pertemuan Sasterawan Nusantara ke-15 (PSN15) telah diadakan pada 11 hingga 13 Disember 2009. Kebetulan pada masa ini saya bercuti, saya berpeluang menyertai pertemuan ini. Saya bukanlah seorang sasterawan; hanya ingin meluaskan sudut pandang dan ilmu pengetahuan, khususnya yang melibatkan hal ehwal Negara Brunei Darussalam dan sesuatu yang ada kaitan dengan pendidikan (terutamanya pendidikan bahasa Melayu).
PSN kali ini dianjurkan oleh Angkatan Sasterawan dan Sasterawani (ASTERAWANI) Negara Brunei Darussalam, dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka Negara Brunei Darussalam. Ini adalah kali keempat Brunei Darussalam menjadi tuan rumah PSN. Sebelum ini, Brunei Darussalam telah menjadi tuan rumah pada tahun 1985, 1995, dan 2001.
PSN dikendalikan secara bergilir-gilir setiap dua tahun sekali di antara negara-negara ahli iaitu Brunei Darussalam, Indonesia, Malaysia, dan Singapura. ASTERAWANI merupakan satu-satunya persatuan penulis kebangsaan di Negara Brunei Darussalam yang telah diamanahkan untuk mengendalikan acara ini.
PSN adalah pertemuan penulis, sasterawan, bahasawan, dan peminat sastera Nusantara. Menurut Prof. Madya Ampuan Dr.Haji Brahim bin Ampuan Haji Tengah, Ketua 1 ASTERAWANI, (dalam buku program PSN15) PSN “merupakan tempat tempat atau ruang yang memberikan peluang kepada sasterawan di Nusantara untuk bertemu, berbincang, berkongsi pengalaman, bertukar pemikiran, saling menginformasi kegiatan, mencambah idea, dan seterusnya dapat mengeratkan hubungan kerjasama dan silaturahim antara para sasterawan dan khalayaknya di Nusantara.”
Tema PSN 15 ialah “Mencarukkan Kesusasteraan Nusantara”. Secara ringkasnya tema ini bermaksud bagaimanakah membawa hala tuju kesusasteraan di Nusantara ini. Tema besar ini juga telah cuba memfokuskan tokoh Muda Omar ‘Ali Saifuddien (Sultan Omar ‘Ali Saifuddien, Sultan Brunei ke-28) sebagai penyair Islam Diraja Brunei dan tokoh-tokoh sasterawan Nusantara lain seperti Raja Ali Haji, Hamzah Fansuri dan seumpamanya, dengan perbincangan meliputi beberapa tema kecil seperti: Sastera Nusantara dalam Sastera Global, Falsafah Sastera Nusantara, Kepimpinan Sastera Nusantara, Ciri Sastera Nusantara, Adikarya Sastera Nusantara, Paradigma Sastera Nusantara, dan Jaringan Sastera Nusantara.
Berkaitan dengan tema PSN15, Dr.Haji Brahim bin Ampuan Haji Tengah, Ketua 1 ASTERAWANI (dalam buku program PSN15) menyatakan “Sasterawan Nusantara walaupun mempunyai pengalaman, cita rasa, dan perjuangan yang hampir sama tetapi latar belakang pendidikan, suasana kehidupan, dan politik mereka sedikit sebanyak tentunya berbeza terutama akibat pengaruh dunia globalisasi masa kini.”
“Para sasterawan Nusantara haruslah mempunyai hala tuju universal dengan mengambil iktibar tokoh-tokoh sasterawan Nusantara masa lalu yang telah mencipta nama bukan sahaja pada zamannya tetapi jua sehingga ke hari ini. Dengan menghasilkan karya, para sasterawan mestilah berpandangan positif, rasional, natural, dan terus-menerus memperindahkan karya ciptaan mereka dengan nilai-nilai bangsa, agama, dan identiti Nusantara”.
Oleh itu, beliau mengharapkan kertas-kertas kerja yang dibentangkan pada kali ini akan dapat menimbulkan suatu pemikiran atau pandangan yang boleh menjadi bahan renungan dan perbincangan yang matlamat akhirnya akan mengangkatkan kualiti dan identiti sastera Nusantara.
Pembentangan kertas kerja (termasuk Ucap Utama) serta Majlis Penutupan Rasmi diadakan di Balai Sarmayuda, Dewan Bahasa dan Pustaka, Airport Lama, Berakas dari 11 hingga 13 Disember 2009. Pembukaan rasminya pula diadakan di Dewan Songket, Hotel Antarabangsa Rizqun, Gadong pada sebelah malam 11 Disember 2009, hari Jumaat.
Sempena dengan PSN15 ini, Malam Sastera Nusantara juga diadakan pada sebelah malam 12hb Disember 2009, hari Sabtu. Acara ini berlangsung di Rumah Badaruddien H.O (Rumah Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin), Sungai Besar, Jalan Kota Batu.
Sebanyak 16 kertas kerja dibentangkan oleh pembentang dari Brunei Darussalam dan luar negara. Ucap Utama pula dibentang oleh Yang Berhormat Pehin Jawatan Luar Pekerma Raja Dato Seri Utama Dr. Ustaz Haji Awang Mohd. Zain bin Haji Serudin (Shukri Zain), Menteri Hal Ehwal Ugama Brunei Darussalam.
PSN15 ini dihadiri hampir 200 orang peserta yang terdiri daripada peserta dari Negara Brunei Darussalam sendiri, Malaysia (termasuk wilayah-wilayah Malaysia yang terdekat seperti Labuan, Limbang dan Miri), Indonesia (termasuk dari Kalimantan), Thailand (Selatan Thai), dan Singapura.
Pautan Berkaitan:
Labels: ASTERAWANI, DBP, Pertemuan Sasterawan Nusantara
ANY COMMENTS, PLEASE SEND YOUR E-MAIL TO:
abdul_rashid.tahir@yahoo.com