Saturday, December 26, 2009
26hb Disember 2009, Sabtu—Yang Berhormat Pehin Pehin Jawatan Luar Pekerma Raja Dato Seri Utama Dr. Ustaz Haji Awang Mohd. Zain bin Haji Serudin (Shukri Zain) (YB Pehin), Menteri Hal Ehwal Ugama Brunei Darussalam telah menyampaikan ucap utama untuk Pertemuan Sasterawan Nusantara Ke-15 (PSN15).
YB Pehin menyampaikan ucap utama ini pada pagi 12hb Disember 2009, hari Sabtu di Balai Sarmayuda, Dewan Bahasa dan Pustaka Brunei, Berakas. Tajuk ucap utama YB Pehin ialah “Kemuliaan Ihsani”.
Pautan yang berkaitan:
Labels: Pertemuan Sasterawan Nusantara
26hb Disember 2009, Sabtu—Pertemuan Sasterawan Nusantara Ke-15 (PSN51) telah ditutup rasmi oleh Menteri Tenaga di Jabatan Perdana Menteri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Dewa Mejar Jeneral (B) Dato Seri Pahlawan Haji Awang Mohammad bin Haji Daud (YB Pehin) pada satu majlis yang diadakan di Balai Sarmayuda, Dewan Bahasa dan Pustaka Brunei (DBP), Berakas pada petang 13hb Disember 2009, hari Ahad.
(Gambarfoto: Abdul Rashid bin Haji Tahir. Diambil pada 13hb Disember 2009, hari Ahad)
Labels: Pertemuan Sasterawan Nusantara
Thursday, December 24, 2009
Labels: Back To School
Wednesday, December 23, 2009
15hb Disember 2009, Selasa—Malam Sastera Nusantara telah diadakan pada 12hb Disember 2009, hari Sabtu di rumah Badaruddin H.O (Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin, Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama) yang terletak di Sungai Besar, Jalan Kota Batu.
Majlis ini merupakan majlis makan malam dan persembahan “pentas” sastera bagi meraikan para peserta Pertemuan Sasterawan Nusantara Ke-15 (PSN15).
Antara yang hadir dalam majlis ini ialah Timbalan Menteri Pendidikan, Yang Mulia Pengiran Dato Seri Setia Dr. Haji Mohammad bin Pengiran Haji Abdul Rahman; Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Ugama, Pengiran Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar; Ketua Hakim Syarie, Yang Berhormat Pehin Siraja Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Awang Yahya (Yahya M.S); dan tuan rumah sendiri berserta Datin.
Majlis ini diserikan dengan penyampaian puisi, syair, pantun, dan persembahan Tausyeh.
Saya dapat mendengar persembahan puisi disampaikan dalam beberapa bahasa iaitu Melayu, Melayu Brunei, Jawa, Thai,….bahkan ada juga bahasa Tamil (puisi Brunei dalam bahasa Tamil) serta bahasa Arab (Tausyeh). Di sinilah, saya lebih banyak mengetahui negara para peserta.
Labels: Pertemuan Sasterawan Nusantara
Monday, December 21, 2009
14hb Disember 2009, Isnin- Majlis Pembukaan Rasmi Pertemuan Pertemuan Sasterawan Nusantara 15 (PSN15) telah diadakan di Dewan Songket, Hotel Antarabangsa Rizqun, Gadong pada sebelah malam 11hb Disember 2009, hari Jumaat. Yang Teramat Mulia (YTM) Paduka Seri Duli Pengiran Muda Abdul Malik ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah telah berkenan berangkat untuk merasmikan PSN15 ini.
Acara dimulakan dengan doa selamat yang diketua oleh Ketua Hakim Syarie, Yang Berhormat Pehin Siraja Khatib Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Yahya bin Haji Ibrahim. Kemudian disusuli dengan ucapan alu-aluan dari Ketua 1 ASTERAWANI & Pengerusi Bersama PSN15, Professor Madya Ampuan Dr. Haji Ibrahim bin Ampuan Haji Tengah.
Seterusnya, YTM telah berkenan mengurniakan sabda. YTM bersabda agar penyampaian hasil karya sastera tidak dihadkan kepada terbitan melalui buku dan media cetak sahaja. Penyampaiannya boleh dibuat melalui laman web. Oleh itu, sabda TYM, para sastera perlu mengambil peluang yang datang daripada penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi.
p/s: Sabda YTM ini sesuai dengan perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi sekarang ini yang memberikan ruang kepada penyebaran yang lebih luas lagi karya sastera dan juga satu cara memaklumkan bagi tujuan “memasarkan” karya-karya sastera yang diterbitkan (sama ada secara konvensional atau bukan konvensional).
Sekarang ini pelbagai teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) yang dapat membantu bagi tujuan tersebut: laman blog (seperti Blogger dan Wordpress), mini-blogging (seperti Twitter), rangkaian masyarakat (seperti Facebook), teknologi “mobile” (seperti Apple iPhone, Apple iPod Touch, HTC Touch HD2, Amazon Kindle dan netbook….serta mungkin Apple Tablet Touch), teknologi e-book (seperti penyampaian karya dalam bentuk pdf), dan mungkin teknologi video atas talian (seperti YouTube dan TVKitani).
Dari segi tamu atau “marketplace” bagi tempat memasarkan hasil karya (bercetak atau elektronik), laman membeli-belah semacam www.qqestore.com atau www.shopping.com.bn bolehlah diadakan atau dikembangkan. Contohnya, laman membeli-belah Amazon.com ada menjual buku-buku bercetak manakala ebook.com ada menjual buku-buku dalam bentuk ebook. Karya sastera mungkin boleh disebarluaskan dan/atau dijual melalui App Store seperti Apple iTunes Store yang kemudiannya boleh dimuatturunkan ke dalam komputer dan seterusnya dipindahkan ke Apple iPhone atau Apple iPod Touch.
Pandangan Saya:
Kita BACA buku-buku yang bercetak dan yang diterbitkan dalam bentuk pdf atau ebook dan yang di”post”kan di laman web atau blog.
Kita DENGAR orang menyanyikan lagu-lagu melalui radio, televisyen, iPod, dan sebagainya. Saya berpendapat lirik lagu-lagu adalah karya sastera. Kita juga mendengar orang berpantun, bersyair, mendeklamasikan puisi secara langsung dalam sesuatu majlis.
Kita TONTON filem dan drama di televisyen, panggung wayang, DVD/Blu-Ray Disc….bahkan YouTube. Skrip filem drama & filem ditulis terlebih dahulu sebelum adanya filem atau drama. Bahkan ada filem atau drama yang diterbitkan berdasarkan hasil karya penulis novel atau cerpen.
Akhirnya, dalam hal penyebaran karya sastera di Negara Brunei Darussalam, kita perlu mempertengahkan karya-karya sastera hasil orang-orang Brunei sendiri….di samping menikmati hasil karya orang luar negara, dengan mempelbagaikan “mode of delivery”nya.
Labels: Pertemuan Sasterawan Nusantara
Wednesday, December 16, 2009
Doa Awal Tahun Baru Hijrah
Ya Allah, wahai Tuhan kami. Engkaulah jua Tuhan yang kekal selama-lamanya, sedia ada lagi tiada permulaan. KelebihanMu maha besar dan kemurahanMu amat limpah yang sangat-sangat diharapkan.
Tibalah sudah tahun baru. Kami mohon kepadaMu agar terpelihara kami sekalian di dalam tahun baru ini daripada tipu daya syaitan yang terlaknat. Juga daripada kuncu-kuncu syaitan dan bala tenteranya.
Dan kami mohon daripadaMu akan pertolongan mengalahkan runtunan nafsu amarah (nafsu yang mendorong kepada jalan-jalan kejahatan).
Kami mohon juga kepadaMu, ya Allah, akan rasa sedia ingin membuat kerja-kerja kebajikan yang boleh mendampingkan diri kami kepadaMu. Ya Allah, Tuhan yang maha agung lagi maha mulia. Ya Allah, Tuhan sebaik-baik yang mengurniakan rahmat.
Sumber: Buku Surah-Surah Pilihan, Tahlil Arwah dan Doa
Doa Akhir Tahun Hijrah
Ya Allah, wahai Tuhan kami. Perkara-perkara yang telah kami lakukan daripada perbuatan-perbuatan yang Engkau larang dalam tahun ini dan belum bertaubat daripadanya padahal Tuhan kami tidak meredai dan Tuhan kami memang tidak lupakannya dan Tuhan kami berlembut tidak mengazabkan kami malah memberi peluang supaya kami bertaubat selepas kami menceburkan diri melakukan maksiat itu maka kami sekalian mohon keampunanMu. Ya Allah, ampunkanlah kami.
p/s: Doa akhir tahun Hijrah dibaca beberapa minit sebelum masuk waktu Maghrib iaitu akhir waktu Asar penghujung tahun Hijrah.
Labels: Hijrah
Tuesday, December 15, 2009
14hb Disember 2009, Isnin –Pertemuan Sasterawan Nusantara ke-15 (PSN15) telah diadakan pada 11 hingga 13 Disember 2009. Kebetulan pada masa ini saya bercuti, saya berpeluang menyertai pertemuan ini. Saya bukanlah seorang sasterawan; hanya ingin meluaskan sudut pandang dan ilmu pengetahuan, khususnya yang melibatkan hal ehwal Negara Brunei Darussalam dan sesuatu yang ada kaitan dengan pendidikan (terutamanya pendidikan bahasa Melayu).
PSN kali ini dianjurkan oleh Angkatan Sasterawan dan Sasterawani (ASTERAWANI) Negara Brunei Darussalam, dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka Negara Brunei Darussalam. Ini adalah kali keempat Brunei Darussalam menjadi tuan rumah PSN. Sebelum ini, Brunei Darussalam telah menjadi tuan rumah pada tahun 1985, 1995, dan 2001.
PSN dikendalikan secara bergilir-gilir setiap dua tahun sekali di antara negara-negara ahli iaitu Brunei Darussalam, Indonesia, Malaysia, dan Singapura. ASTERAWANI merupakan satu-satunya persatuan penulis kebangsaan di Negara Brunei Darussalam yang telah diamanahkan untuk mengendalikan acara ini.
PSN adalah pertemuan penulis, sasterawan, bahasawan, dan peminat sastera Nusantara. Menurut Prof. Madya Ampuan Dr.Haji Brahim bin Ampuan Haji Tengah, Ketua 1 ASTERAWANI, (dalam buku program PSN15) PSN “merupakan tempat tempat atau ruang yang memberikan peluang kepada sasterawan di Nusantara untuk bertemu, berbincang, berkongsi pengalaman, bertukar pemikiran, saling menginformasi kegiatan, mencambah idea, dan seterusnya dapat mengeratkan hubungan kerjasama dan silaturahim antara para sasterawan dan khalayaknya di Nusantara.”
Tema PSN 15 ialah “Mencarukkan Kesusasteraan Nusantara”. Secara ringkasnya tema ini bermaksud bagaimanakah membawa hala tuju kesusasteraan di Nusantara ini. Tema besar ini juga telah cuba memfokuskan tokoh Muda Omar ‘Ali Saifuddien (Sultan Omar ‘Ali Saifuddien, Sultan Brunei ke-28) sebagai penyair Islam Diraja Brunei dan tokoh-tokoh sasterawan Nusantara lain seperti Raja Ali Haji, Hamzah Fansuri dan seumpamanya, dengan perbincangan meliputi beberapa tema kecil seperti: Sastera Nusantara dalam Sastera Global, Falsafah Sastera Nusantara, Kepimpinan Sastera Nusantara, Ciri Sastera Nusantara, Adikarya Sastera Nusantara, Paradigma Sastera Nusantara, dan Jaringan Sastera Nusantara.
Berkaitan dengan tema PSN15, Dr.Haji Brahim bin Ampuan Haji Tengah, Ketua 1 ASTERAWANI (dalam buku program PSN15) menyatakan “Sasterawan Nusantara walaupun mempunyai pengalaman, cita rasa, dan perjuangan yang hampir sama tetapi latar belakang pendidikan, suasana kehidupan, dan politik mereka sedikit sebanyak tentunya berbeza terutama akibat pengaruh dunia globalisasi masa kini.”
Oleh itu, beliau mengharapkan kertas-kertas kerja yang dibentangkan pada kali ini akan dapat menimbulkan suatu pemikiran atau pandangan yang boleh menjadi bahan renungan dan perbincangan yang matlamat akhirnya akan mengangkatkan kualiti dan identiti sastera Nusantara.
Pembentangan kertas kerja (termasuk Ucap Utama) serta Majlis Penutupan Rasmi diadakan di Balai Sarmayuda, Dewan Bahasa dan Pustaka, Airport Lama, Berakas dari 11 hingga 13 Disember 2009. Pembukaan rasminya pula diadakan di Dewan Songket, Hotel Antarabangsa Rizqun, Gadong pada sebelah malam 11 Disember 2009, hari Jumaat.
Sempena dengan PSN15 ini, Malam Sastera Nusantara juga diadakan pada sebelah malam 12hb Disember 2009, hari Sabtu. Acara ini berlangsung di Rumah Badaruddien H.O (Rumah Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin), Sungai Besar, Jalan Kota Batu.
Sebanyak 16 kertas kerja dibentangkan oleh pembentang dari Brunei Darussalam dan luar negara. Ucap Utama pula dibentang oleh Yang Berhormat Pehin Jawatan Luar Pekerma Raja Dato Seri Utama Dr. Ustaz Haji Awang Mohd. Zain bin Haji Serudin (Shukri Zain), Menteri Hal Ehwal Ugama Brunei Darussalam.
PSN15 ini dihadiri hampir 200 orang peserta yang terdiri daripada peserta dari Negara Brunei Darussalam sendiri, Malaysia (termasuk wilayah-wilayah Malaysia yang terdekat seperti Labuan, Limbang dan Miri), Indonesia (termasuk dari Kalimantan), Thailand (Selatan Thai), dan Singapura.
Labels: ASTERAWANI, DBP, Pertemuan Sasterawan Nusantara