Tuesday, March 15, 2011

12 Mac 2011, Sabtu (dan dikemaskini pada 21 Mac 2011) – Pada 11 Mac 2011, hari Jumaat, saya berpeluang menguji pandu kereta hatchback mewah pertama di dunia yang menggunakan teknologi hybrid sepenuhnya iaitu kereta Lexus CT200H.

Terima kasih kepada Hanafi bin Haji Manaf, konsultan jualan Lexus, kerana menjemput saya untuk menjalankan uji pandu ini. Biskita boleh menghubungi beliau jika biskita ingin menguji pandu kereta ini atau kereta Lexus yang lain (...dan seterusnya membeli kereta yang diingini) melalui telefon nombor: 673 872 2202.









Uji pandu saya ini bermula dari Bilik Pameran Lexus, kemudian menuju ke Jalan Penghubung Tungku lalu menyusurkan ke persimpangan  Sekolah Antarabangsa Jerudong (JIS) / Universiti Brunei Darussalam(UBD)/ Ibu Pejabat DST(DST HQ) untuk kembali semula ke Bilik Pameran Lexus.


Lexus CT200H
Kereta ‘compact’ mewah ini berharga sekitar BND60 ribu. Biskita bolehlah menghubungi konsultan jualan Lexus untuk harga terkini kereta ini.


Speksifikasi Utama
Engin:1798 cc, 4 cylinder in line 16 valve, DOHC with VVT-i. Dilengkapi dengan motor hybrid dan batteri Nickel-Metal Hybride
Sistem Transmissi: CVT
Prestasi: Mengambil masa 10.3 saat dari 0-100 km sejam.
Tayar dan rim: 205/55R16


Isu Pemanasan Global
Pada masa ini timbul isu pemanasan global (‘global warming’) yang perlu ditangani dengan segera. Kenderaan bermotor adalah antara penyumbang kepada pemanasan global. Oleh itu, para pengeluar kereta berusaha untuk mengurangkan faktor-faktor yang menyebabkan pemanasan global.


Beberapa pendekatan telah dilakukan oleh pengeluaran kenderaan bermotor. Antaranya menghasilkan engin yang lebih efisyen, dan mencipta teknik lain bagi mengerakkan kenderaan seperti mencipta teknologi hybrid sepenuhnya. Teknologi hybrid sepenuhnya ini yang dihasilkan oleh Lexus dan ini terdapat dalam kereta model CT200H.


Perbandingan Perbatuan (‘Mileage')
Saya memiliki kereta Suzuki Swift 1.3 Auto hampir 3 tahun. Setiap 100 km secara puratanya saya berbelanja sekitar BND4 (hampir sama dengan belanja minyak kereta VW Golf GTI). Kereta Suzuki Swift (termasuk Suzuki Swift Sport) adalah jenama dan model kereta yang saya minati kerana saiznya dan bentuknya ada faktor keceriaan (‘fun factor’). Di samping Suzuki Swift, saya juga minat kereta VW Golf (khususnya Golf GTI) dan kereta Lexus (khususnya siri IS... dan juga mungkin dengan siri CT termasuk CT200H).


Oleh itu, berikut ini saya buat perbandingan antara VW Golf GTI; VW Golf R dengan Lexus CT200H dari segi perbatuannya (‘mileage’), kos berdasarkan harga minyak bersubsidi dan tidak bersubsidi.

(Sila klik untuk saiz besar)
(Sila klik untuk saiz besar)
(Grafik: Abdul Rashid bin Haji Tahir)


Nota:
  1. Perjalanan 15 000 kilometer adalah jauh perjalanan purata kereta saya sekarang dalam tempoh setahun.
  2. Harga minyak petrol tanpa subsidi adalah berdasarkan harga minyak ini pada Hari Tenaga Negara Brunei Darussalam, 24 Mei 2010. Sila klik DI SINI untuk maklumat lanjut.
  3. Penggunaan bahan bakar adalah berdasarkan maklumat yang terdapat di brosur kereta berkenaan.
  4. Perbatuan ('mileage') sebenar bergantung kepada cara pemanduan, keadaan jalan, dan keadaan kereta dan beberapa faktor lain.
Merujuk kepada jadual perbandingan di atas, Lexus CT200H menggunakan kurang petrol hampir separuh berbanding dengan VW Golf GTI dan lebih separuh kurang petrol berbanding dengan VW Golf R. Begitu juga kos operasinya berdasarkan harga petrol tersebut.

Adakah saya akan membeli kereta Lexus CT200H?
Penjimatan minyak mungkin menarik minat saya untuk mendapatkan CT200H di samping ciri-ciri bentuk yang menarik dan ‘sporty’. Saya suka yang berwarna hitam. Adalah lebih menarik lagi jika rimnya bersaiz 17 atau 18 dengan tayar ‘aspect ratio’ yang lebih rendah. Kemudahan peralatan hiburan yang mengandungi 3 set monitor (1 depan dan 2 belakang), kamera undur, dan kemudahan Bluetooth untuk telefon bimbit.


Penjimatan minyak akan juga menyumbang kepada penguragan kesan buruknya kepada alam sekitar dan juga mengurangkan beban subsidi kepada kerajaan. Semakin hari rakyat dan penduduk Brunei Darussalam bertambah dan seterusnya bertambah juga penggunaan kenderaan. Bertambah penggunaan kenderaan bertambah juga penggunaan minyak. Bertambah penggunaan minyak bertambah juga pengeluaran gas yang tidak diingini ke alam sekitar dan juga bertambah juga beban subsidi kerajaan. Dengan merujuk kepada jadual di atas, jika saya membeli  Lexus CT200H berbanding dengan VW Golf GTI, saya akan dapat menjimatkan 540 liter (1110liter-570liter) setahun dan ini juga bermakna saya akan dapat menjimat BND243 wang subsidi setahun.


Namun begitu, penggunaan minyak kereta VW Golf GTI yang hampir sama seperti kereta Suzuki Swift 1.3 Auto saya pada masa ini, menarik minat saya untuk mendapat VW Golf GTI. Kalau dapat VW Golf R lagi bisai.


Jika harga petrol tidak lagi disubsidi oleh kerajaan, mungkin minat saya untuk mendapat kereta VW Golf GTI akan berkurangan kerana ingin mengurangkan kos minyak. Perbezaan kos minyak tanpa subsisdi  dalam tempoh 7 tahun antara Lexus CT200H dengan VW Golf GTI ialah BND7614 - BND3910 = BND3704. Sebanyak BND3704 akan dapat dijimatkan dalam masa 7 tahun jika membeli Lexus CT200H berbanding dengan VW Golf GTI. Mungkin... mungkin perbezaan BND3704 bagi kereta yang berharga hampir BND60 000 kuranglah signifikan. Kalau diandaikan kereta ini berharga sekitar BND20 000, penjimatan kos ini adalah signifikan.


Di samping faktor penjimatan minyak, faktor lain juga menarik minat saya terhadap ketiga-tiga kereta ini. Masing-masing ada tarikan tersendiri sama ada dari segi reka bentuk, kuasa, faktor keceriaan, dan 'accessory' yang disediakan serta 'faktor-faktor yang sukar hendak dikatakan'.

Cukai Kenderaan Bermula 1 April 2011
Mulai 1 April 2011, cukai eksais kenderaan adalah seperti jadual yang saya sedia ini:

(Sila klik untuk saiz besar)

Perubahan skim cukai ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran di kalangan rakyat dan penduduk di negara ini mengenai kesan penggunaan kenderaan kepada penjagaan dan pemeliharaan alam sekita di negara ini. Di samping itu, skim cukai ini juga diharapkan akan mencapai matlamat untuk mengawal penggunaan dan pengimportan kenderaan-kenderaan yang menggunakan bahan bakar yang tinggi dan memberi kesan negatif kepada alam sekitar dan mengurangkan kos pemilikan kenderaan bagi membantu mengawal kadar kos saraan hidup di negara ini.


Oleh itu apakah kedudukan cukai bagi kereta-kereta yang saya minati?  Lexus CT200H adalah kereta hybrid yang juga menggunakan engin petrol 1798cc. Oleh kerana ia menggunakan engin petrol, maka kadar cukai asasnya ialah 20% dan kadar cukai asas ini dikurangkan lagi sebanyak 5%  atas sebab kereta ini kereta hybrid yang menjadikan cukai bagi kereta ini sebanyak 15% sahaja. Oleh itu, cukai bagi kereta ini dikurangkan sebanyak 5% berbanding dengan kadar cukai sebelum 1 April 2011. Berapa banyak kurangnya 5% ini? Saya dapat menganggarkan adalah beberapa ribu ringgit turun harganya berbanding dengan harganya sekarang dan ini merupakan insentif tambahan untuk mendapat kereta Lexus CT200H (berbanding dengan kereta lain yang saya minati).


Kereta VW Golf GTI dilengkapi dengan engin petrol 1984cc. Bahkan kereta VW Golf R juga dilengkapi dengan engin petrol 1984cc. Jadinya kadar cukai bagi kedua-dua kereta ini masih kekal pada kadar 20% iaitu tidak berkurang dan tidak juga bertambah. Berita baik bagi saya juga... sekurang-kurangnya tidak bertambah kadar cukainya.

Jadikah?
Setakat ini saya hanya meminati kereta-kereta yang dinyatakan.Jadinya, belum ada keputusan muktamad yang mana satu hendak dibeli. Rancangan saya dalam 2-3 tahun akan datang untuk mendapatkan salah satu daripadanya. Sementara menunggu masa yang sesuai, saya akan terus mengikuti perkembangan ketiga-tiga model kereta tersebut dan menilai apa yang terbaik bagi diri saya berdasarkan minat.... dan juga kos. Saya yakin pengeluar kereta tersebut akan menambah baik kereta keluaran mereka, khususnya dari segi penjimatan minyak dan daya tarikannya yang lain. Saya juga berharap sesuatu yang saya inginkan ada bagi setiap kereta itu akan menjadi kenyataan.

(Gambarfoto: Abdul Rashid bin Haji Tahir. Diambil pada 11 Mac 2011, hari Jumaat)

Pautan Berkaitan

PeachPit (Pearson Education)

ANY COMMENTS, PLEASE SEND YOUR E-MAIL TO:

abdul_rashid.tahir@yahoo.com